SAJAK [ Sosial dan Sejarah ]
MENCARI TARIQ II
(Teluka di lembah Granada)

Langit senja Iberia telah
merah, saat burung lelayang
menghitung-hitung zikir hamdalah
mahu berpulang
dan kau masih lagi belum hilang asa
mencari di puncak salju Sierra Nevada
lalu tergelincir dan terluka di lembah Alhambra.
Kau singgah Asar di tubir Guadalquivir,
berwudhu dan berdoa panjang-panjang, berhari-hari
sebelum kau lari lagi ke Seville
menunggu azan di Giralda
dan terus ke Lisbon
mengintai Tangier dengan mata hampa.
Langit senja Iberia telah
merah, rehatlah dulu,
jamahlah buah limau masam dari halaman Mezquita ini
sambil kita sama-sama duduk di pantai Algeciras
menanti kapal Berber
mengejar matahari hampir tertidur didakap lautan.
sambil menilik kenangan yang begelimpangan.
Kau serahkan hiba rindu
kepada langit,
kepada hujan
kepada teduhan
dan kutahu kau adalah kekasih yang lama mendiamkan luka
Kadangkala kau masih bermonolog
dengan masa silam
“Aku masih dengarkan suara lelakimu Tariq
menghimpun-himpun awan
ketika pedang kiblat yang kau tusukkan
tepat menikam tafsir perkasihan”
Dan saat itu memandangmu,
Andalusia
seorang jelitawan yang kehilangan cinta
wajah yang putih dan ombak yang teresak-esak itu
meyakini aku
bahawa Tariq, kekasihmu,
sesekali tidak pernah terkubur di sini.
|