SAJAK [ Sosial dan Agama]
RINTIHAN MARHAEN
(untuk wira Everest yang bertemu kebenaran tapi seolah
dinafikan)

salam takziah
dari bumi bertuah
takdirnya kau melihat kebenaran
dari puncak bumi
pada suatu hari
dan menjadi abdi
menyerah sebagai hamba paling lemah.
Di atas kerusi
kau cuba mengatur sejadah
tapi dugaan melengkapkan kesempurnaan insan
rupa-rupanya selalu tidak mudah
di celah himpitan bangunan bertingkat
yang konon penuh dengan amanah
(dan kuasa, kerenah juga nanah!)
ada manusia
tega mengatur jalan berlubang
meletakkan syarat itu ini
Rasul kata permudahkan
tapi mereka selalu menyusahkan
sehingga kebenaran
terpaksa ditangguhkan.
air matanya pernah
tumpah
mengenang nasib yang ditampung
kerusi roda
ditemani anak dan isteri setia
Sembilan hari
terbujur dingin tanpa nadi
barangkali adalah manusia yang bangga
kerana menyusahkan
rahmat yang bercucuran
di balik kalimah syahadah
|